Saturday, July 01, 2006

Kisah cinta antara 3 darjat

Seluruh tubuhku berasa amat sakit. Hendak berjalan
pun ku rasakan tidak berdaya lagi. Kepalaku
seakan-akan hendak pecah dan cuping telingaku
berdarah. Akhirnya aku terperosok di stor di
belakang rumah, terbaring di atas lantai simen
yang kotor dan berdebu. Ku cuba pejamkan mata yang
sudah hilang sinarnya ini, tetapi suara mak
encikku yang menengking di luar sana memaki hamun
diriku masih kedengaran.

Beginilah nasibku sejak akhir-akhir ini. Entah
kenapa aku mendapat mak encik yang tak macam orang
lain. Lengan dan betisnya sama besar. Maknanya
sama ada aku kena penampar atau penendang,
kesannya sama sahaja. Wajahnya pula tak ayu
langsung. Muka bulat dengan permukaan
berlubang-lubang, hidung pesek kembang pulak tu!
Bibirnya saja ku kira lima inci tebal dan lebarnya
pula usahlah cerita, lebih-lebih lagi bila dia
memekik. Lainlah aku. Kadangkala aku terfikir
jugak, entah-entah mak encik aku cemburu dengan
kecomelan dan kemontokkan tubuh aku ini berbanding
dengan tubuhnya yang bak tut tut...malas aku nak
menyebutnya...

Jelingannya pula cukup membuat aku kebas kaki dan
tangan. Tatkala dia mula menerjah aku memang rasa
nak mati jam itu juga dan apabila dia mula
menghampiriku sambil menyingsing kain, aku yang
terlantar seperti ini. Pedih dan sakit. Tetapi
mujurlah kepedihan dan kesakitan itu terubat
apabila aku memandang Syah Fazwan. Renungan
matanya bagai ubat yang menyembuhkan lukaku.
Senyumannya memang amat kudambakan.

Kadangkala aku terfikir mengapa Syah Fazwan
terlalu jauh beza dengan emaknya, mak encikku itu?
Bukan setakat perbezaan perangai tapi juga paras
rupa. Gamaknya Syah Fazwan ikut baka ayahnya yang
sudah meninggal dunia itu. Syah Fazwan adalah
satu-satunya anak teruna mak encikku dan
satu-satunya insan yang begitu mengambil berat
tentang diriku serta satu-satunya lelaki yang
berjaya mencuri hatiku!

Tetapi aku sedar bahawa aku cuma menumpang di
rumah ini. Darjat Syah Fazwan terlalu tinggi dan
tak setaraf denganku. Namun aku terharu dengan
layanan Syah Fazwan. Dia tidak mengira pangkat dan
darjat. Dia membuatkan diriku begitu berharga.

Mengenangkan kebaikan Syah Fazwan kepadaku
membuatkan aku melupakan saja kekejaman emaknya.
Biarlah tubuhku dibalun mak encikku, aku rela
asalkan Syah Fazwan masih menyayangi aku. Demi
Syah Fazwan, aku sanggup bertahan di sini walaupun
nyawaku terancam setiap hari.

Mas! Mas! Mastura!!!" Tiba-tiba aku terdengar
namaku diseru. Syah Fazwan? Syah Fazwan dah balik?
Aku cuba bangun tetapi tubuhku amat lemah. Hari
ini aku paling teruk ditibai mak encik. Pintu stor
tiba-tiba terkuak. Aku tahu Syah Fazwn yang datang
dan dia juga tahu aku disini sebab stor inilah
tempat aku bersembunyi apabila mak encik naik angin.

"Ya Allah...Mas.kenapa berdarah-darah ini?" Syah
Fazwan terkejut sungguh melihat keadaanku. Aku
cuma mendiamkan diri. Buat-buat memandang ke arah
lain agar Syah Fazwan tahu yang aku merajuk.

"Mak saya buat awak lagi ye? Sabarlah Mas...nanti
saya tarukkan ubat ye!" Tak lama kemudian Syah
Fazwan keluar. Di luar aku dengar Syah Fazwan
bersoal jawab dengan emaknya.

"Emak tak patut buat Mas macam tu..dia pun ada
perasaan, mak!" Lembut sekali suara Syah Fazwan.

"Eleh, apa yang dia tahu?!" Kasar sekali suara mak
encik. "Kesianlah kat Mas, mak..saya sayang dia!"
Ucapan Syah Fazwan yang last itu sungguh membuat
aku bahagia.

Seminggu kemudian hidupku bagaikan di syurga. Mak
encikku tak ada di rumah kerana ikut rombongan
persatuan wanita ke Langkawi. Hanya tinggal aku
dan Syah Fazwan. Dia melayan aku bagaikan puteri.
Namun, dia tak pernah mengambil kesempatan ke
atasku. Ada suatu ketika Syah Fazwan merenung ke
dalam mataku. Indahnya saat itu!

Mak encikku balik semula ke rumah. Aku mula tak
senang duduk. Tetapi apa yang ku jangka tidak
terjadi. Mak encikku benar-benar berubah. Dia
tidak lagi memaki hamun diriku apatah lagi mendera
aku seperti biasa. Air gamat cap apa yang dia
minum kat Langkawi itu hari?

Entahlah. Aku benar-benar tak faham tapi aku
bahagia jika betul mak encikku berubah laku.
Agaknya dia sudah boleh menerimaku dan aku juga
cuba mengambil hatinya. Aku senyum sendiri.
Pagi itu mak encikku kelihatan gembira betul.
Wajahnya berkilat-kilat. Syah Fazwan pun nampak
riang semacam. Tak henti-henti dia mengusikku. Mak
encik nampak tak kisah.

Tengah hari itu ada tamu mengunjungi rumah mak
encikku. Seorang gadis yang...eleh, taklah cun
sangat. Tapi Syah Fazwan layan dia dengan mesra
sekali. Gadis itu pun nampak macam miang je. Aku
terbakar oleh api cemburu. Mak encikku sekejap
tersengih sekejap ketawa. Seronok le tu!

Aku memberanikan diri muncul di ruang tamu. Cuba
melenggang-lenggukkan langkahku di depan mereka.
Syah Fazwan perasan akan kehadiranku.
"Ha..Mas..mari sini, saya nak kenalkan awak dengan
seseorang."

Gadis itu nampak tercenggang melihatku tapi
akhirnya tersenyum sambil menjeling manja pada
Syah Fazwan

"Inilah Sharifah, bakal tunang saya!" Kata Syah
Fazwan sekaligus merentap jantungku.

"Ooooo..inilah Mastura yang you cerita tu ye? Dan
mereka pun ketawa beramai-ramai. Berdekah-dekah.

Gelaklah. Gelaklah. Aku sedar siapalah aku, cuma
seekor kucing betina jalanan yang sekadar singgah
di sini dan diberi nama olehmu, Syah Fazwan... iaitu Mastura!!
Huh..Mastura konon!!!!!

No comments:

Followers

Blog Archive

Stat Counter